KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin melahirkan harapan agar semua ahli UMNO khususnya Puteri UMNO tidak patah semangat selepas Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kemenangan bagi membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Beliau menegaskan akan tetap bersama parti untuk bangkit dengan semangat yang baru.

“Saya akan tetap bersama-sama mereka. Kita akan bangkit semula dengan semangat baru. Saya berharap mesyuarat cawangan kali ini kita akan dapat kumpulkan kekuatan untuk kembali merapatkan saf bagi membina semangat dan mengatur gerak kerja baru,” ulas beliau.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris juga mengharapkan agar semua ahli UMNO tidak berputus asa dek kerana kejatuhan parti keramat ini.

Jelas beliau, kali ini UMNO diuji dengan ujian yang amat besar kerana Allah SWT mahu memberikan kejayaan yang jauh lebih besar.

“Kalah menang ini biasa. Dalam Islam ada masa juga kalah dalam peperangan. Yang penting kepercayaan dan kesatuan hati dan ini akan membuatkan kita menang. Islam itu tertegak bukan sentiasa dengan menang… menang… menang.

“Kerajaan Uthmaniah juga ada kalanya kalah tetapi akhirnya Constantinople berjaya ditawan oleh Sultan Muhamad Al Fateh.

“Saya berharap agar ahli UMNO jangan putus asa. Ini adalah pra syarat untuk kita berjaya dan membina tamadun yang lebih panjang,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Pontian Datuk Ahmad Maslan pula menjelaskan tiada satupun perjuangan yang tidak ada cabaran. Justeru, semua ahli UMNO harus terus bertahan dan bersama-sama merancang untuk masa hadapan yang lebih baik.

“Kalau sekarang kita hilang kuasa dalam kepimpinan negara, saya yakin kita boleh dapat balik dalam tempoh tertentu.

“Kalau kita sentiasa berfikiran positif, ada sahaja lorong yang penting perjuangan kita ini benar. Secara peribadi perjuangan saya untuk agama bangsa dan tanah air. Itu pesanan arwah ayah, UMNO ini untuk perjuangan ‘a ba ta’. Pemimpin itu datang dan pergi tapi perjuangan itu kekal abadi,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO