Tiga veteran UMNO digugur keahlian

Tiga bekas menteri iaitu Tan Sri Rafidah Aziz, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Rais Yatim, digugurkan keahlian mereka daripada UMNO berkuatkuasa semalam, susulan sokongan masing-masing terhadap pembangkang dan mengeluarkan kenyataan menghentam parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau sudah menandatangani surat pengguguran keahlian tiga veteran parti itu semalam selepas mendapat bukti kukuh sokongan mereka terhadap pembangkang dan membuat kenyataan menghentam parti.
“Sebagai Setiausaha Agung UMNO, saya menyelidik (sebelum membuat keputusan pengguguran). Kita bukan bertindak berdasarkan ‘hearsay’ (cakap-cakap). Bila ada bukti yang kukuh contohnya gambar, baru kita keluarkan surat (pengguguran).
“Sebagai veteran UMNO, mereka sendiri tahu. Mungkin memang mereka sendiri nak kita gugurkan mereka sebagai ahli. Apa yang menyedihkan saya, sewaktu mereka dalam parti kami semua menyokong mereka, sedangkan ketika itu mereka juga ‘bermasalah’.
“Tapi kerana konsep taat kepada kepemimpinan, kita ikut dan tabayun. Sekarang saya tak faham kenapa mereka lakukan benda ini (hentam parti dan sokong pembangkang) serta runtuhkan institusi yang pernah mendokong mereka selama ini.
“Mungkin mereka ini tidak boleh lihat orang (kerajaan sekarang) lebih baik dari mereka. Mereka dulu bersama kita, masa dulu (kalau salah) kita perbetulkan, kita dalam satu jemaah ini, bila jemaah itu sudah keluar mereka mula menuding jari, ini tidak patut dan tidak adil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai beberapa veteran UMNO yang didakwa menghentam parti serta menyokong pembangkang dalam musim kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).