Utama DARI KETUA BAHAGIAN Manifesto BN Selangor demi kepentingan rakyat

Manifesto BN Selangor demi kepentingan rakyat

SEGALA teka-teki berhubung bila Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah terjawab. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan 9 Mei ini sebagai hari pengundian manakala penamaan calon ditetapkan pada 28 April.

Bagi penulis, soal bila pilihan raya dan sama ada jatuh hari bekerja atau tidak, bukanlah isu. Apa yang lebih penting adalah sejauh mana kira-kira 14.9 juta pengundi berdaftar menggunakan hak mereka dengan betul.

Bagi lebih dua juta rakyat Selangor yang mengundi pada tarikh berkenaan, ia adalah detik penting untuk mereka. PRU-14 adalah penentu kepada usaha mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk negeri itu.

Dalam ruangan ini, penulis sudah memaparkan berkali-kali kegagalan kepemimpinan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar. Banyak masalah yang melumuri Sela­ngor dan paling ketara ialah masalah air yang tidak selesai sehingga ke hari ini. Imej negeri itu juga terjejas apabila tercetus skandal penjualan tanah di Ijok yang sekali gus mencalar imej kerajaan negeri yang kononnya bersih dan berwibawa.

Oleh itu, penulis berpendapat, PRU-14 adalah detik terbaik untuk rakyat Selangor melakukan perubahan. Dua penggal memberi peluang kepada PKR, DAP dan Pas memerintah boleh dianggap satu kesilapan kerana dari semasa ke semasa Selangor terus mendapat perhatian negara bukan kerana perkara yang baik tetapi isu yang boleh menjejaskan namanya.

Penulis berpendapat, PRU-14 bukanlah sekadar satu peluang untuk rakyat mengundi tetapi lebih penting daripada itu ialah membuat pilihan yang bijak iaitu kembali semula memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah.

Komitmen BN itu sudah diterjemahkan melalui Aku Janji yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah air di Selangor. Tidak cukup dengan itu di pe­ringkat negeri pula, BN Selangor di bawah kepemimpinan Tan Sri Noh Omar sebagai pengerusi pada Ahad lalu ­melancarkan manifesto BN yang bertemakan Better Se­langor. Yakinlah BN Lebih Baik

Penulis mengharapkan rakyat Selangor akan mengkaji dengan teliti setiap satu tawaran di dalam manifesto itu yang benar-benar membuktikan ketelusan dan keikhlasan BN untuk mewujudkan Selangor yang lebih baik untuk mereka. Ia dirangka dan dibentang dengan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya dan menunjukkan bagaimana BN memahami naluri rakyat.

BN tidak membentangkan manifesto yang dipenuhi dengan janji-janji palsu, apatah lagi yang sukar dilaksanakan. Tetapi manifesto Selangor adalah manifesto realiti demi masa depan rakyat Selangor.

Peningkatan meter padu air percuma daripada 20 meter padu kepada 40 meter, menjanjikan pembinaan lebih 140,000 unit rumah mampu milik, 50,000 unit rumah kos rendah dan sederhana, 60,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), memulihkan semula 29,443 unit rumah terbengkalai serta menyiapkan 6,000 unit rumah transit belia di Rawang dalam tempoh lima tahun adalah antara tawaran menarik BN kepada mereka.

Semua itu pasti akan dilakukan oleh BN jika diberi semula mandat untuk memerintah Selangor. BN bukan ­seperti PKR dan DAP yang membatalkan projek perumahan rakyat dan sehingga kini tidak mampu menyelesaikan masalah air.

BN melihat masalah berkaitan rakyat perlu diselesaikan dan bukannya dipolitikkan malah BN juga sudah pasti tidak akan mengamalkan sikap menuding jari menyalahkan orang lain jika sesuatu rakyat tercetus. Namun itulah sikap Mohamed Azmin sejak menjadi Menteri Besar. Apa sahaja isu yang berlaku di Selangor semuanya dituduh mainan politik BN. Beliau tidak berusaha menyelesaikannya sebaliknya bijak berhujah untuk menutup kelemahan kepemimpinannya.

Oleh itu, rakyat Selangor perlu menilai dengan sebaik-baiknya Aku Janji yang terkandung dalam manifesto BN bagi negeri itu untuk PRU-14. Ketepikan emosi dan pandangan politik sempit. Buatlah keputusan bijak dengan meletakkan kepentingan masa depan mengatasi fikiran politik yang merugikan.

PRU-14 sememangnya berkaitan politik namun membuat keputusan dalam pilihan raya bukanlah soal politik semata-mata. Satu undi yang kita letakkan dalam peti undi boleh menentukan sama ada kita akan sengsara atau derita, gembira atau sedih.

Sebagai salah seorang pemimpin BN di Selangor, penulis amat mengetahui dan memahami betapa ikhlas­nya parti yang memerintah negara sejak merdeka mahu membela nasib rakyat. Pembelaan yang dilakukan bukanlah atas kepentingan politik tetapi demi memastikan ­kesejahteraan mereka terus terpelihara.

BN bukanlah seperti gabungan mahupun parti pembangkang yang hanya inginkan kuasa semata-mata mahu berkuasa, tetapi BN mahukan kuasa untuk membawa negara ini ke arah lebih cemerlang dan gemilang demi masa depan anak cucu kita.

Keputusan yang kita buat hari ini akan menentukan untung nasib anak cucu kita. Penulis akui BN bukanlah sempurna dan tidak ada cacat cela, tetapi sejarah sudah membuktikan di bawah kepemimpinan parti itulah negara mencapai kemakmuran dan kesejahteraan.

Begitulah juga kita di Selangor. Kembalilah kepada BN. Marilah bersama-sama membangunkan negeri tercinta ini. Nilai dan kajilah apa yang ditawarkan oleh BN bagi memulihkan Selangor. Janganlah terus terpedaya dengan mainan politik dan janji kosong Mohamed Azmin, PKR dan DAP serta sekutu-sekutu mereka.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.

© Utusan Melayu (M) Bhd
Translate »