Barisan Nasional (BN) Selangor bakal melonjakkan pembangunan serta kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan 10 teras manifesto jika parti itu berjaya merampas semula pentadbiran negeri ini pada PRU14. 

Manifesto yang bertemakan ‘Better Selangor; Yakinlah, BN Lebih Baik!’ itu dirangka khas bagi memenuhi lima matlamat pembentukan negeri serta rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

Lima matlamat itu ialah mewujudkan kestabilan politik dan pentadbiran negeri berprestasi tinggi; keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat; infrastruktur dan kemudahan asas mesra pengguna; ekonomi berkembang maju, mampan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global serta kesepaduan rakyat tonggak utama kelestarian pembangunan sosioekonomi negeri.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar yang melancarkan secara rasmi manifesto negeri di Seksyen 18 hari ini, beliau menegaskan 10 teras itu merangkumi;

1. Perkhidmatan awam berprestasi tinggi;
2. Ekonomi berkembang maju, mampan dan inovatif;
3. Perumahan sejahtera dan mampu milik;
4. Kecemerlangan pendidikan dan modal insan;
5. Infrastruktur dan kemudahan asas mesra pengguna;
6. Kesejahteraan belia, wanita dan masyarakat majmuk;
7. Pengangkutan awam cekap dan mampu bayar;
8. Keselamatan dan ketenteraman awam;
9. Kesihatan berkualiti dan kelestarian alam sekitar;
10. Kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat bandar.

Malahan, BN Selangor juga turut menawarkan 100 inisiatif sekaligus memberi impak positif untuk rakyat semua peringkat golongan umur, jantina dan kaum di negeri ini.

Antara 100 inisiatif tersebut ialah mewujudkan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di setiap daerah, menanggung sepenuhnya kos cukai barang dan perkhidmatan (GST) di sektor kerajaan, menjajarkan semula hala tuju anak-anak syarikat kerajaan negeri serta mewujudkan panel khas memantau integriti pentadbiran negeri dan mengimbangi komposisi kaum dalam sektor awam termasuk menyerap kakitangan kontrak dalam perkhidmatan tetap.

Selain itu, BN Selangor juga turut menjanjikan pembinaan 140,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik kepada rakyat selangor menerusi skim sewa beli bagi setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) serta membaikpulih 29,432 unit rumah terbengkalai di negeri ini.

“Kita juga akan memperkenalkan program perumahan khas kepada kumpulan isi rumah pertengahan 40 peratus (M40) serta dana khas bagi membaiki rumah bagi rakyat di luar bandar.

“Kita juga tidak mengenepikan golongan belia, para imam dan siak serta para penjawat awam Selangor yang mana kita akan mewujudkan program perumahan khas untuk golongan ini.  Pengurangan beban rakyat ini akan disusuli dengan perubahan dasar kerajaan negeri menerusi pengurangan caj premium tanah, Kebenaran Merancang (KM) serta penghapusan syarat-syarat membebankan yang dilaksana dalam pentadbiran pakatan pembangkang ketika ini,” kata Noh di hadapan lebih 4,000 hadirin dalam majlis itu.

Hadir sama dalam progam pengumuman manifesto itu ialah Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan serta barisan kepimpinan komponen BN negeri.

Dalam membangunkan modal insan Selangor, Noh turut mengumumkan komitmen BN negeri untuk memperkasakan semula Universiti Selangor (Unisel) sebagai universiti awam serta menyediakan pendidikan percuma di semua Sekolah Rendah Agama (SRA) di negeri ini.

Komitmen itu termasuklah mewujudkan pusat taska dan tadika berkualiti di bawah kendalian kerajaan negeri, dana khas penyelenggaraan serta PIBG di SRA, Sekolah Agama Menengah, SKJC, SKJT, SMKJC.

“Selain itu, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) akan turut menerima elaun khas manakala insentif khas RM10,000 disediakan bagi para pelajar yang memperoleh ijazah kelas pertama. Bantuan khas RM2,000 juga akan diberikan kepada para pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT),” jelasnya.

Dari segi infrastruktur negeri pula, BN Selangor kata Noh, merancang memperkenalkan rebat tarif kepada rakyat bagi penggunaan bekalan air di bawah 40 meter padu yang mana janji tersebut turut termasuk pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu.

Jaminan itu katanya turut meliputi penyelesaian segera penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor sekaligus menangani secara tuntas masalah bekalan air terawat yang dihadapi rakyat sejak 10 tahun lalu.

Janji yang dianggap menyeluruh untuk rakyat Selangor itu turut mengambilkira pembangunan pengangkutan awam untuk rakyat dengan merancang untuk menjadikan Shah Alam sebagai hub pengangkutan bersepadu di negeri ini, menyediakan dana khas bantuan tambang bas sekolah kepada isi rumah bawah 40 peratus (B40) termasuk penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam percuma kepada rakyat.

Dalam soal kesihatan rakyat pula, Noh menyatakan BN Selangor jika diberikan mandat akan menyediakan pusat dialisis dan perkhidmatan ambulan percuma di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), mewujudkan Skim Kesihatan Warga Emas Selangor.

Malah, dalam pemuliharaan alam sekitar, BN Selangor akan memberikan bayaran 20 sen kepada rakyat yang membawa beg sendiri semasa membeli barangan di kedai atau premis yang mengenakan caj beg plastik.

“Pada masa sama, manifesto ini turut menyatakan hasrat kita untuk memansuhkan saman dan kompaun tertunggak bagi penjaja dan peniaga kecil termasuklah kompaun trafik yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Insentif di bawah kesejahteraan hidup masyarakt bandar ini akan turut melibatkan bantuan dana penyelenggaraan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) di kawasan perumahan kos rendah, membanteras kegiatan rumah urut dan judi haram. Usaha ini termasuklah menyediakan dana khas miskin bandar serta melaksanakan program MyBN (Beautiful Neighbourhood),” ujar Noh.