Utama DARI KETUA BAHAGIAN Azmin jadilah anak jantan!

Azmin jadilah anak jantan!

KRISIS bekalan air di Selangor baru-baru ini masih menjadi perdebatan. Sementara Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air terus membentangkan fakta berhubung perkara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula terus bermain politik.

Beliau kekal dengan sikap egonya tidak mahu me­ngaku bahawa krisis itu berpunca daripada kelewatan kerajaan negeri memuktamadkan pengambilalihan Splash. Ertinya, ia mampu dielakkan jika Mohamed Azmin berjiwa besar bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam perkara tersebut.

Tetapi penulis tidak faham kenapa Mohamed Azmin mempolitikkan isu air sedangkan ia berkait rapat dengan kesejahteraan hidup rakyat Selangor. Dalam berhadapan isu ini, Menteri Besar Selangor itu sepatutnya mengetepikan sebarang sentimen politik.

Tindakan mencabar Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang bermain politik dan mencabar beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukanlah satu tindakan politik yang bijak, sebaliknya hanya menampakkan kebuntuan Mohamed Azmin dalam menyelesaikan isu air.

Kerajaan Pusat tidak berhasrat bermain politik, begitulah juga Dr. Zaini. Sebagai penjawat awam, beliau bercakap berdasarkan fakta dan bukannya menyampaikan retorik politik. Mohamed Azmin perlu berjiwa anak jantan dalam soal ini dengan mengakui ada masalah atau kemelut yang perlu diselesaikan bagi memastikan krisis air tidak berulang.

Air amat penting kepada rakyat. Banyak lagi urusan lain yang perlu mereka selesaikan daripada saban hari terpaksa mengangkut air dan keadaan itu lebih perit kepada mereka yang tinggal di kawasan rumah-rumah pangsa atau flat.

Tetapi adakah Mohamed Azmin memahami keadaan itu? Adakah Mohamed Azmin faham betapa peritnya apabila bekalan air terputus? Sebab itulah dalam ruangan ini penulis berkali-kali mengi­ngatkan Menteri Besar Selangor itu fahamilah naluri rakyat. Selamilah hati dan perasaan mereka, pastikan kehidupan mereka tidak terjejas semata-mata ke­rana mainan politik yang tidak sewajarnya.

Kalaulah benar Mohamed Azmin berjiwa rakyat, beliau akan bersungguh-sungguh men­cari penyelesaian supaya krisis bekalan air tidak berlaku lagi di Selangor. Tetapi apa yang dapat kita lihat, Mohamed Azmin tidak bersikap demikian.

Dalam kenyataan terbarunya, beliau terus menuding jari kepada Kerajaan Pusat. Timbalan Presiden PKR itu lebih selesa untuk mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat, apa yang berlaku semuanya salah Kerajaan Pusat yang di­pimpin oleh Barisan Nasional (BN).

Kita faham ketika ini negara memasuki musim pilihan raya. Semua parti mahu mencari keuntungan politik atau berusaha meraih sokongan politik, tetapi isu masalah air Selangor ini bukan isu politik, tetapi ia isu berkaitan de­ngan kehidupan rakyat.

Bukan sahaja di Selangor malah kalau berlaku di ne­geri mana sekalipun, waima di bawah kepemimpinan BN sekali pun, masalah tersebut perlu diselesaikan segera supaya ia tidak berulang, bukannya dipolitikkan.

Tetapi malangnya, Mohamed Azmin tidak mahu menjadi anak jantan dalam berpolitik. Beliau terus de­ngan perangai rakan-rakan dalam Pakatan Harapan iaitu me­nyalahkan pihak lain berbanding menyelesaikan masalah.

Sikap itu mungkin mencontohi pemimpin idolanya, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terus menyalahkan orang lain terhadap apa juga yang berlaku ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Malah, Azmin juga mungkin meniru gaya kepemimpinan sahabat baiknya, Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang menyalahkan Kerajaan Pusat apabila tercetus sesuatu isu berkaitan masalah rakyat di negeri itu.

Semua itu adalah pendekatan politik cara selamat atau dalam bahasa politiknya ‘mahu cuci tangan’ seolah-olah mereka adalah pemimpin sempurna. Kalau berlaku apa-apa itu bukan salah mereka, tetapi salah orang lain.

Namun Mohamed Azmin tidak boleh selamanya bermain politik cara sedemikian. Masalah rakyat perlu di­selesaikan melalui tindakan, bukannya hujah politik, apa­tah lagi mencabar seseorang bertanding dalam pilihan raya apabila ditegur.

Penulis juga tertanya-tanya adakah dalam isu krisis air ini, Azmin keseorangan. Mana pemimpin-pemimpin kerajaan negeri yang lain. Kalau adapun yang buat kenyataan, ia ibarat ‘melepas batok di tangga sahaja’. Tidak bersungguh-sungguh. Hujah pula boleh ditangkis begitu sahaja.

Mungkin dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan di Selangor mereka tidak mahu dikaitkan dengan kegagalan Mohamed Azmin menguruskan isu air ini. Kalaupun rakyat hendak marah, biarlah Mohamed Azmin seorang sahaja menanggungnya. Masing-masing seolah-olah mahu menjaga kepentingan politik sendiri, apatah lagi menjelang PRU-14.

Mohamed Azmin perlu benar-benar menjadi anak jantan yang berani berhadapan dengan apa juga cabaran dan menyelesaikan masalah rakyat. Bukannya menjadi ayam jantan, berkokok kuat tetapi ekor bergelumang dengan najis.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.

© Utusan Melayu (M) Bhd
Translate »